Perjumpaan yang tidak disangka, pertama kali aku bertentang mata dengannya berdegup jantungku, bukan tidak pernah merasakan sebegitu, tetapi rasanya sudah lama aku tidak merasakan debaran itu. Kuntuman senyum yang terukir di wajah kami seakan memberi suatu peluang untuk memulakan berbicara. Namun bibir ini terasa seperti dikunci untuk memulakan sebarang perbualan, cukuplah dengan senyuman manis itu. Aku tidak pernah kenali dirinya, tetapi siapa sangka pertemuan itu menjadi batu loncatan buat hubungan kami. Kami mula rapat melalui alam siber, hampir setiap hari kami ‘berjumpa’ di alam maya, banyak perkara yang dibincangkan bersama. Seseorang yang suka berjenaka namun tidak ramai yang memahaminya. Aku tertarik akan perwatakannya, ilmunya dan pada masa yang sama atas jenakanya. Aku rasa senang sekali berkongsi pendapat dengannya, kadangkala timbul juga rasa geram pabila berdebat tentang beberapa perbezaan pendapat.
Dari alam siber, hubungan kami semakin akrab pabila ianya beralih ke alam nyata. Kami mula mengenali hati masing-masing dengan lebih rapat lagi. Maka terciptalah bibit-bibit cinta yang selama ini ku simpan entah untuk siapa. ‘Mungkin dialah orangnya’, hatiku berbisik. Jujur aku katakan aku sedang di lamun cinta, suatu perasaan yang tiada siapa dapat menerangkan kecuali jika dirinya berada di dalam lautan asmara. Dia juga begitu, mungkin kerana kami berdua sudah lama bersendirian, sudah tiba waktunya untuk membuka hati kami menerima cinta yang baru. Semuanya manis, indah belaka, janji diukir, kenangan tercipta... ahhh siapa yang tidak ingin dilamun cinta? Setiap masa yang dinikmati bersama, kan senantiasa aku semadikan ke dalam jiwaku. Perjalanan yang kami tempuh amat menyenangkan tiada siapa yang bisa menyangka punya banyak perbezaan pendapat antara kita terutama dalam perkara yang akan mencorak masa depan hidup kita. Aku sedar akan perbezaan itu, telah lama ku fikirkan tentangnya, namun kelalaian seseorang yang dilamun cinta kadangkala membuatnya lupa dan alpa. Dia dan pegangannya, aku dengan peganganku, pernah juga aku terfikir tentang masa hadapan, bagaimana jika punya zuriat suatu ketika nanti, arah manakah harus si anak tuju? Aku jarang sekali pertikaikan masalah itu kerna pabila disentuh tentang perkara itu ianya tidak akan membawa ke arah penyelesaian sebaliknya akan berlaku pertikaman lidah. Bukankah itu sudah menjadi adat pasangan kekasih?
Masa berganti hari, berganti bulan, berganti tahun, setiap detik kami lalui bersama, banyak perjalanan hidup ini telah dikongsi bersama. Pada masa itu, dia seakan sudah pasti akan keputusannya. Kami bertemu seperti biasa, dia menyatakan apa yang tersirat di hatinya. “Saya yakin awak boleh berjumpa dengan yang lebih baik lagi.” Jiwaku retak – bagaikan ditusuk sembilu, hancur hati ini. Rasanya seperti hilang arah tujuan, buat seketika itu. Aku tidak dapat mengerti mengapa harus ini terjadi. Tiada alasan yang kukuh diberi, keputusan sudah dibuat tetapi mengapa dia juga harus bersedih? Bukankah itu keputusan yang lahir dari hatinya sendiri? Aku kebingungan, mujurlah teman-teman dan keluarga mendampingi aku pada detik itu. Jika tidak, aku sendiri tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi. Mengapakah seseorang itu sentiasa bersikap kurang rasional ketika dia patah hati atau dilamun cinta? Aku masih belum ketemu jawapannya.
Setahun telah berlalu, banyak perkara yang telah diubah. Aku cuba untuk mengalihkan perhatianku kepada perkara yang lain, alhamdulillah, semuanya menjadi lebih mudah dengan keizinanNya. Dalam masa yang sama aku juga cuba membuka pintu hatiku untuk menerima seseorang yang baru. Sepurnama kami berhubung, tetapi aku merasakan tiada keserasian di situ, terpaksa aku mengundurkan diri ketika itu, mungkin aku masih belum bersedia. Aku meneruskan hidupku seperti biasa, pada suatu malam aku termimpikan si dia, masyaAllah... kejam sungguh mimpi itu. Pada keesokan harinya, aku tidak menyangka setelah begini lama, dia kembali menghubungiku. Mulanya seperti tiada apa yang terjadi tetapi saban hari kami menjadi terlebih rapat. ‘Adakah masih punya rasa cinta? Ataukah dia merinduiku?’ hatiku sentiasa berbisik. Ramai yang menasihatiku supaya lebih berhati-hati, aku seperti tidak menghiraukan kata-kata mereka. Mereka yang banyak melihat aku sengsara tahun lalu, dan aku yakin mereka tidak mahu peristiwa berulang kembali.
Setelah lama berhubung, barulah kami mengambil keputusan untuk berjumpa semula. Entah apa yang berada di benak fikiranku pada tika itu, ‘adakah aku masih merindukannya?’ Tidak dapat aku memberikan jawapan itu. Maka tibalah detik perjumpaan semula, berdiri bulu romaku, degupan nadi ini melonjak, hai... rasanya seperti seseorang yang baru jatuh cinta. Tiada banyak yang berubah tentang dirinya, sekadar kelihatan seperti berat badannya meningkat sedikit. Banyak yang diperbualkan, mungkin rindu dengan satu sama lain, tetapi berat ingin menyatakan. Berjam-jam kami berbual tidak menyangka hari yang terang berubah menjadi gelap. Segala kenangan yang pernah kami lalui bersama acap kali diungkapkan kembali. Tidak aku sangka masih segar di dalam ingatannya tentang detik-detik manis itu. Dalam kata-katanya aku dapat merasakan seolah-olah dia merindukan perhubungan kami yang dulu. Di raut wajahnya kelihatan sedetik penyesalan, namun aku tahu ada sesuatu yang tersirat di hatinya, sesuatu yang aku tidak dapat menekanya, sesuatu yang dia tidak akan memberitahuku.
Tiba masanya untuk kami berundur, tatkala beredar dari tempat duduk masing-masing, dia melontarkan renungan yang tajam ke arah wajahku. “Saya rindu dan masih sayangkan awak.” Aku menepis kata-katanya itu, perhubungan tidak akan ke mana jika hanya berterusan di tahap itu sahaja. Dia faham akan niatku, tetapi masih belum bersedia untuk ke tahap selanjutnya – atas sebab tertentu, ataupun mungkin aku sendiri sudah dapat mengagaknya, kerna dua dunia kita berbeza. Aku dapat merasakan sedikit kekecewaan di situ, walaupun aku sudah menjangkakan keputusan itu. Kata-kata akhirku kepadanya supaya kita tidak lagi berhubung selepas ini. Aku tahu ianya tidak semudah apa yang diucapkan, namun demi untuk kebaikkan diri masing-masing, salah seorang harus mengundurkan diri buat selamanya. Aku cuba untuk tidak menyimpan apa-apa dendam terhadapnya walau sepahit apapun rintangan yang akan aku lalui. Semoga perjalananku selepas ini akan dipermudahkan, insyaAllah...
No comments:
Post a Comment